KUCHING, 2 Dis: Tiga lelaki warga tempatan direman di Mahkamah Majistret Kuching hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh di sebuah pangsapuri di Sungai Tapang, pada Ahad.
Dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 9 Disember manakala seorang lagi pula direman selama empat hari sehingga 6 Disember ini untuk siasatan selanjut.
Perintah reman itu dikemukakan Pembantu Pegawai Penyiasat Mohd Safuan Mohd Nasir sebelum diluluskan Majistret Majistret Ling Hui Chuan.
Kesemua suspek berusia 20-an itu hadir di Mahkmah Kuching pada jam 9.22 pagi dengan berpakaian baju lokap polis berwarna ungu sebelum dibawa keluar daripada mahkamah sekitar jam 11.26 pagi.
Terdahulu Ketua Polis Daerah Padawan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi menerusi satu siaran media memaklumkan seorang lelaki warga tempatan berusia 22 tahun ditemui mati dengan kesan tetakan pada bahagian badan di sebuah pangsapuri awal pagi semalam.
Menurutnya, Bilik Gerakan IPD Padawan telah menerima maklumat berhubung kejadian insiden pergaduhan di pangsapuri berkenaan kira-kira 4.40 pagi.
Susulan itu, kesemua suspek telah ditahan dan disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – TVS