SIMANGGANG, 2 Dis: Bandar Simanggang memerlukan sebuah hotel baharu yang mempunyai kapasiti 50 bilik bagi memenuhi permintaan pengunjung terutama semasa penganjuran program pelancongan.
Memetik laporan Suara Sarawak, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis berkata, ia susulan terdapatkan cadangan penganjuran dua program pelancongan dalam setahun di bandar tersebut bermula tahun depan.
Malah menurutnya, Pesta Benak edisi ke-21 yang berlangsung dari 28 November hingga 1 Disember melepasi sasaran kehadiran pengunjung.
“Pada tahun depan mungkin akan ditambah aktiviti dan program yang boleh menarik lebih ramai pelancong.
“Bagaimanapun, kita akan berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan untuk menganjurkan aktiviti lain selain Pesta Benak.
“Mungkin pertandingan Ratu Pelancongan Benak kita asingkan, begitu juga Ratu Kebaya dan ditambah program lain, supaya kita ada dua program pelancongan di Simanggang dalam satu tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penangguhan Pesta Benak Edisi ke-21 2024 di sini, pada Ahad.
Menurut Francis, pihaknya kini memikirkan cara untuk menarik pelabur datang termasuk membuka hotel bagi menampung Seri Simanggang yang tidak mencukupi.
“Sekurang-kurangnya hotel bertaraf empat atau tiga bintang, supaya perkara berkaitan penginapan tidak lagi timbul setiap kali mengadakan program besar.
“Setakat ini salah seorang pemilik hotel di sini menyatakan minat dan mencari tapak tanah. Selain itu terdapat dua pelabur dari Sibu juga berminat.
“Kita berharap satu atau dua pelabur boleh merealisasikan impian dengan menyediakan sekurang-kurangnya 50 bilik maka kita tiada masalah menganjurkan program lebih besar,” ujarnya.-TVS