MIRI, 2 Dis: Kehamilan remaja bukan sekadar isu kesihatan tetapi memberi kesan besar kepada masa depan pendidikan dan sosial golongan muda.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata, Kerajaan Sarawak telah menubuhkan jawatankuasa untuk menangani kes kehamilan remaja di Sarawak.
“Kehamilan pada usia muda menghalang mereka untuk menyelesaikan pendidikan dan menjejaskan masa depan.
“Walaupun jumlah kes kehamilan remaja masih tinggi, langkah yang telah diambil sejak 2016 menunjukkan hasil positif termasuk penurunan kes kehamilan dalam kalangan remaja yang masih bersekolah,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Penutupan Program Kesejahteraan dan Kesejahteraan Komuniti di sini, hari ini.
Menurutnya, kejayaan tersebut dibantu perubahan dalam demografi yang mana kini lebih ramai remaja hamil pada usia 18 hingga 19 tahun selepas tamat sekolah menengah berbanding sebelum ini.
“Kami tidak nafikan walaupun masih ada kes di bawah umur 18, kita anggap ini sebagai satu kejayaan kerana mereka sudah tidak lagi di bangku sekolah.
“Alhamdulilah, kehamilan remaja dalam kalangan pelajar sekolah semakin kurang dan ini adalah satu pencapaian penting,” ujarnya.
Fatimah berkata, langkah intervensi turut dijalankan merangkumi program advokasi seperti Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS) menyasarkan remaja dalam komuniti yang tidak bersekolah di kampung dan rumah panjang.
“Kami akan terus melaksanakan program yang dapat memberi impak positif kepada masyarakat termasuk dalam menurunkan kes kehamilan remaja dan mempromosikan kesihatan serta keselamatan komuniti.
“Sebagai pergerakan wanita, kami perlu sentiasa bersedia bukan hanya semasa pilihan raya. Perkhidmatan kami kepada rakyat adalah sepanjang tahun.
“Dengan komitmen dan pendekatan bersepadu ini, kita berharap masyarakat Sarawak terutama golongan remaja dapat diberi peluang lebih baik untuk mengecapi masa depan yang cerah dan bebas daripada kesan buruk kehamilan remaja yang tidak dirancang,” kata Fatimah.-TVS