Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto fail Anwar Ibrahim (FB)

PM Anwar gesa penjawat awam tingkatkan prestasi selaras pelaksanaan SSPA

ByBernama

PUTRAJAYA, 2 Dis: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa penjawat awam untuk meningkatkan prestasi selaras dengan kenaikan gaji yang bermula bulan ini, susulan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa semalam.

Beliau berkata prestasi cemerlang diperlukan memandangkan rakyat mengharapkan perkhidmatan yang lebih baik daripada sektor awam.

“Pelaksanaan SSPA bermula bulan ini, seperti yang dijanjikan. Tahniah kepada mereka yang menerima kenaikan gaji. Namun, seperti yang saya tekankan, kita setuju dengan ini (SSPA) kerana kita mengiktiraf dan menganggap ia wajar diberikan.

“Tetapi, saya hanya berharap agar saudara-saudara (penjawat awam) memastikan prestasi jauh lebih baik kerana rakyat menuntut perkhidmatan yang lebih berkualiti,” katanya dalam perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar turut menyeru penjawat awam agar memberikan sokongan penuh kepada KSN yang telah mengambil beberapa langkah untuk merealisasikan reformasi perkhidmatan awam.

“Saya harap sokongan penuh diberikan kerana rakyat ingin melihat (reformasi) dilaksanakan di peringkat akar umbi, daerah dan kementerian,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan yakin bahawa peningkatan prestasi itu boleh dicapai kerana keupayaan manusia boleh ditingkatkan melebihi apa yang telah dilaksanakan selama ini.

SSPA yang menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) memberi pelarasan gaji yang dijangka membawa kesan positif kepada kesejahteraan ekonomi penjawat awam, selain membuka peluang peningkatan kerjaya yang lebih baik dalam perkhidmatan awam.

Dengan pelarasan gaji dan pergerakan tahunan, pendapatan penjawat awam dijangka meningkat dalam julat 16.8 peratus hingga 42.7 peratus. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan