KUALA LUMPUR, 2 Dis: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mempertimbangkan penggunaan sistem baharu berasaskan kod QR bagi mempercepatkan proses pemeriksaan di kaunter imigresen, khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, sistem berkenaan akan membolehkan pengembara mengimbas yang mengandungi maklumat peribadi dan butiran perjalanan mereka.
“Penggunaan teknologi ini dijangka membantu meningkatkan keselamatan, mengurangkan kesesakan di pintu masuk negara terutama pada waktu puncak serta melancarkan proses pemeriksaan,” katanya pada Pertanyaan – Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan R.S.N Rayer (Pakatan Harapan-Jelutong) yang ingin tahu langkah-langkah yang sedang diambil oleh kerajaan untuk menambah baik perkhidmatan dan bilangan mesin pengimbasan pasport automatik di semua pintu masuk negara untuk memudahkan urusan kemasukan pelancong asing.
Sementara itu Shamsul Anuar turut memaklumkan bahawa usaha menambah baik sistem sedia ada di pintu masuk negara telah dilakukan secara berterusan.
“Pada masa ini, semua lapangan terbang antarabangsa di Malaysia telah dilengkapi mesin pengimbas pasport automatik dengan teknologi terkini, termasuk fungsi pengesanan pemalsuan dokumen melalui pengecaman data teks serta cip RFID,” jelasnya.
Jelas beliau sebanyak 1,568 unit mesin pengimbas automatik telah ditempatkan di semua pintu masuk negara dan kemudahan autogate turut diperluaskan kepada pelawat dari 53 negara baharu.
“Ini termasuk 26 negara Kesatuan Eropah (EU), 17 negara Eropah di luar EU, enam negara Timur Tengah serta serta negara lain seperti China, Kanada, Hong Kong dan Taiwan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan KDN juga sedang mempertimbangkan untuk memperluaskan penggunaan kod QR di pintu-pintu masuk utama lain termasuk sempadan darat dan laut.
“Dengan sistem yang lebih bersepadu, ia akan meningkatkan kecekapan pengurusan imigresen dan mengurangkan risiko rasuah serta penyalahgunaan kuasa di kaunter imigresen,” tambahnya. – TVS.