KUCHING, 2 Dis: Kerajaan Sarawak hari ini menandatangani dua projek kerjasama baharu dengan Pertubuhan Kayu Tropika Antarabangsa (ITTO) untuk terus menyokong usaha pemuliharaan hutan dan pembangunan komuniti.
Menerusi kenyataan media yang dikongsikan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), dua projek itu adalah Pengurusan Kawasan Pemuliharaan Sungai Menyang, Lubok Antu untuk Perlindungan Orang Utan dan Peningkatan Kehidupan Komuniti dan kedua, tindakan kritikal untuk Meningkatkan Kehidupan Tempatan: Pemuliharaan dan Pembangunan Berasaskan Komuniti di Hulu Baram.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut diadakan semasa Mesyuarat Majlis Kayu Tropika Antarabangsa ke-60 di Yokohama, Jepun.
Perjanjian itu ditandatangani Pengarah Perhutanan Sarawak Datu Hamden Mohammad yang mewakili kerajaan Sarawak dan Pengarah Eksekutif ITTO Sheam Satkuru.
Majlis itu disaksikan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi Datuk Abdul Hadi Omar.
Len Talif berkata skop kedua-dua projek ini akan diperluaskan untuk merangkumi aktiviti sosioekonomi melalui projek agroperhutanan seperti penanaman gaharu, pertanian pintar dan lain-lain.
“Iniakan memberi manfaat langsung kepada komuniti tempatan, meningkatkan pendapatan mereka dan memperbaiki taraf kehidupan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, Hamden mengucapkan penghargaan kepada ITTO atas kerjasama erat yang terjalin sekian lama dengan Sarawak.
“Sejak misi pertama ITTO pada tahun 1990, organisasi tersebut telah menyokong Sarawak dengan pembiayaan lebih daripada 20 projek, menyumbang sejumlah USD 16 juta bagi pengurusan hutan, pemuliharaan, pemulihan landskap hutan dan pembangunan komuniti,” katanya menerusi kenyataan itu.
Ia dijangka membawa manfaat besar kepada komuniti tempatan di dua kawasan projek ini.
Matlamat utama kedua-dua projek ini adalah untuk meningkatkan taraf hidup komuniti tempatan melalui pembangunan pelancongan berasaskan komuniti, peningkatan infrastruktur dan inisiatif pembinaan kapasiti.
Projek Sungai Menyang akan memberi tumpuan kepada menangani konflik antara manusia dan hidupan liar, khususnya orang utan, manakala projek Hulu Baram akan menekankan usaha pemuliharaan berasaskan komuniti.
Kedua-dua projek ini bertujuan untuk memperkasakan komuniti tempatan sebagai penjaga alam sekitar semula jadi, memastikan pengurusan hutan secara lestari dan perlindungan hidupan liar untuk generasi akan datang.
“Dua projek baharu ini merupakan langkah penting dalam komitmen Sarawak terhadap pembangunan mampan dan pengurusan alam sekitar, memberikan hasil positif untuk komuniti tempatan dan ekosistem hutan yang mereka bergantung,” kata kenyataan itu.