KUCHING, 2 Dis: Sarawak terus mendapat perhatian antarabangsa sebagai hab tenaga hijau yang berpotensi bukan sahaja di rantau Asia Tenggara tetapi peringkat global.
Duta Itali ke Malaysia Massimo Rustico berkata, wilayah ini dilihat sebagai kuasa besar dalam peralihan tenaga sekali gus menarik minat Itali yang menyokong agenda transformasi hijau.
“Kesatuan Eropah (EU) kini berusaha menggalakkan penyahkarbon di peringkat global. Oleh itu, kami sangat berminat berkongsi teknologi kami dengan Sarawak.
“Sudah tentu kami juga menyokong dari segi kewangan untuk apa sahaja yang diperlukan. Kami berpendapat ini adalah sebahagian daripada matlamat keseluruhan di pentas global yang dimiliki Kesatuan Eropah dan Itali menyokong sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
Menurutnya, keupayaan teknologi canggih dan kehebatan industri Itali menjadikan negara itu rakan kongsi ideal untuk menjayakan visi Sarawak sebagai hab tenaga hijau.
Tambahnya, satu memorandum persefahaman (MoU) akan dimeterai antara Kerajaan Sarawak dan pemain industri utama dari Itali hari ini.
MoU itu katanya dijangka menjadi langkah penting dalam mengukuhkan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.
“Ini hanya langkah pertama dan Itali berada di sini untuk memegang peranan sangat penting.
“Jadi, saya sangat gembira sebagai Duta Itali ke Malaysia untuk berada di barisan hadapan dalam inisiatif ini dan menghubungkan titik-titik berbeza kerana anda perlu menghubungkannya yang mana pelan strategik Sarawak dan memahami keseluruhan pelan strategik Malaysia dari segi penyahkarbonan,” ujarnya.
Massimo turut menyatakan komitmen Itali untuk terus menyokong pelan strategik Sarawak dalam mencapai penyahkarbonan dan yakin kerjasama itu bukan sahaja menguntungkan Sarawak tetapi memberikan peluang kepada Itali untuk menyumbang kepada transformasi tenaga global. – TVS