Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dewan Rakyat dimaklumkan sebanyak 2,113 kekosongan jawatan guru sekolah di Sarawak setakat ini belum terisi.

Dewan Rakyat: 2,113 kekosongan jawatan guru di Sarawak belum diisi

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUALA LUMPUR, 2 Dis: Dewan Rakyat dimaklumkan sebanyak 2,113 kekosongan jawatan guru sekolah di Sarawak setakat ini belum terisi.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata sehingga 31 Oktober 2024, jumlah perjawatan di sekolah-sekolah di Sarawak adalah sebanyak 43,334.

“Namun hanya 41,221 jawatan telah diisi dengan baki kekosongan sebanyak 2,113 jawatan.

“Kadar pengisian guru di Sarawak adalah sebanyak 95.12 peratus,” katanya pada Pertanyaan –Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ali Biju (Perikatan Nasional – Saratok) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan perancangan jangka masa pendek dan panjang KPM menerusi inisiatif Pengambilan Guru Khas bagi mengatasi kekurangan guru di Sarawak.

Sementara itu beliau memaklumkan kementerian menyasarkan seramai 1,733 guru baharu akan diambil melalui pengambilan khas bagi mengisi kekosongan jawatan guru di Sarawak pada tahun ini.

Tambah beliau, urusan pengambilan khas berkenaan terbuka kepada graduan pendidikan dan graduan bukan pendidikan.

“Proses ini dijalankan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dengan kerjasama agensi pusat seperti Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan,” katanya.

Kah Woh berkata iklan pengambilan khas bagi Sarawak telah dihebahkan pada 1 hingga 23 Ogos 2024 dan sesi temu duga telah bermula pada Oktober 2024.

“Keputusan dijangka keluar pada awal Disember 2024. Urusan pengambilan adalah berdasarkan kekosongan jawatan dan bekalan calon yang berjaya dalam temu duga,” katanya.

Beliau turut memaklumkan KPM telah mengambil beberapa langkah jangka pendek dan sederhana, termasuk pengambilan guru berdasarkan kluster mata pelajaran seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Bahasa Cina dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.

Selain itu katanya kerajaan juga telah meluaskan pengambilan kepada graduan dari universiti swasta dan luar negara.

“(Ini termasuk) melantik guru secara kontrak perkhidmatan dalam kalangan graduan bukan pendidikan, dengan persediaan melalui Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) selama setahun di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

“Untuk langkah jangka panjang, kita akan melaksanakan Program Praperkhidmatan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) bagi lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Program Matrikulasi dalam bidang pengkhususan tertentu untuk memenuhi keperluan guru sekolah rendah,” tambah beliau. – TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan