KUALA LUMPUR, 2 Dis: Proses penggabungan Ombudsman Perkhidmatan Kewangan (OFS) dengan Pusat Penyelesaian Pertikaian Industri Sekuriti (SIDREC) kini berada di peringkat akhir bagi merealisasikan Perkhidmatan Ombudsman Pasaran Kewangan (FMOS) menjelang 2025.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, perkembangan berkenaan mencerminkan usaha berterusan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi meningkatkan keberkesanan serta kebolehcapaian skim penyelesaian pertikaian untuk pengguna kewangan dan pelabur.
Jelas beliau, selaras dengan pelaksanaan penggabungan berkenaan, BNM juga telah mengkaji semula had monetary award bagi pertikaian yang akan dikendalikan oleh FMOS, bertujuan memastikan skim ombudsman kewangan yang ditadbir FMOS kekal relevan.
“Kajian ini penting untuk memenuhi keperluan pengguna dalam ekosistem kewangan yang semakin berkembang pesat terutama dari segi digitalisasi dan inovasi kewangan yang semakin kompleks,” katanya pada Pertanyaan – Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Chong Chieng Jen (Pakatan Harapan-Stampin) yang bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk membubarkan atau menggantikan OFS yang didakwa terlalu berpihak kepada institusi perbankan sehingga mengabaikan kepentingan pengguna.
Tambah Hui Ying, penggabungan juga akan menghasilkan sistem yang lebih menyeluruh dan berkesan bagi melindungi pengguna kewangan dan pelabur.
Dewan Rakyat: Tiada caj tersembunyi harga mingguan RON97 dan diesel
“FMOS akan memastikan standard serta keputusan yang lebih konsisten, memberikan jaminan bahawa semua pengguna kewangan dan pelabur menikmati tahap perkhidmatan serta perlindungan yang setara.
“Penggabungan ini juga menyediakan satu saluran utama bagi pengguna membuat aduan, memudahkan mereka tanpa perlu menghubungi pelbagai agensi yang berbeza,” jelasnya.
Selain itu, beliau menambah, skim penyelesaian pertikaian tunggal ini mampu mempercepatkan proses penyelesaian, mengurangkan masa menunggu, serta meningkatkan kecekapan pengurusan aduan. – TVS