SERIAN, 2 Dis: Seorang remaja lelaki maut manakala adiknya cedera selepas motosikal ditunggang terbabas lalu melanggar besi penghadang jalan di Kilometer (KM) 84, Jalan Kuching-Sri Aman di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Neil Beginda berkata, dalam kejadian jam 2.50 petang itu mangsa yang maut dikenali Jarren Lim Zhi Hung, 17, manakala adiknya Garren Lim Zhi Yang, 13, cedera.
“Siasatan awal mendapat motosikal ditunggang dua beradik itu bergerak dari arah Sri Aman menuju ke arah Kuching.
“Semasa melalui lokasi kejadian motosikal ditunggang telah merapat ke kiri jalan lalu melanggar besi penghadang jalan, kedua-dua mangsa jatuh di atas bahu jalan dan motosikal telah terbabas ke lorong sebelah kanan lalu melanggar besi penghadang jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, Jarren yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik dari Hospital Serian manakala adiknya yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Serian untuk mendapat rawatan lanjut.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serian untuk tindakan lanjut, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -TVS