KUCHING, 1 Dis: Penganjuran Program Hari Kesihatan Lelaki 2024 anjuran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bertujuan mempromosikan penjagaan kesihatan khas kepada golongan lelaki.
Naib Canselor UNIMAS, Dr. Ahmad Hata Rasit berkata, sasaran utama program tersebut adalah golongan lelaki agar mereka mempunyai kesedaran akan kesihatan tubuh badan mereka.
Menurutnya, perkara tersebut dilaksanakan kerana golongan lelaki lebih cenderung untuk mengabaikan kesihatan mereka berbanding golongan wanita.
“Program ini diadakan bertujuan untuk mempromosikan kesehatan terutama di kalangan lelaki di peringkat masyarakat setempat.
“Statistik menunjukkan bahawa lelaki cenderung mengabaikan kesehatan mereka dan kurang melakukan pemeriksaan kesehatan,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UNIMAS, Profesor Dr. Asri Said semasa Program Hari Kesihatan Lelaki 2024 di Pasar raya Mydin di Kuching pada Ahad.
Menurut statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia, purata jangka hayat lelaki Malaysia adalah kira-kira 72.8 tahun berbanding 77.8 tahun bagi wanita.
Perbezaan sebanyak 5 tahun lebih itu masih berada pada tahap yang memimbangkan kerana jurang tersebut masih tidak berubah setelah sedekad yang lalu. -TVS