BELAGA, 1 Dis: Tindakan pantas orang awam berjaya menyelamatkan sebuah bengkel motosikal di Jalan Ulu Lian di sini, terbakar pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga, Helman Main berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 7.25 pagi dengan menggerakkan lapan anggota ke lokasi kejadian.
“Setibanya pihak bomba di lokasi kejadian didapati terdapat kebakaran di dalam bahagian belakang kedai bengkel motosikal.
“Kebakaran tidak melibatkan struktur bangunan dan hanya melibatkan perkakas dalam kedai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pemadaman awal telah dilakukan oleh orang awam dengan menggunakan empat unit alat pemadam api jenis debu kering sebelum ketibaan pihak bomba.
“Pihak bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran 200 kaki air pili bomba, setelah memastikan api padam sepenuhnya dan keadaan benar selamat, pasukan bomba bertolak balik ke balai,” ujarnya.-TVS