KUCHING, 1 Dis: Konsert Muzik Rakan Muda Sarawak 2024 merupakan inisiatif bagi memberi pendedahan kepada belia untuk mencungkil dan menggilap bakat dalam bidang muzik.
Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Dolhadi Mazuki berkata, konsert tersebut bukan sahaja mencungkil bakat anak muda malah usaha signifikan dalam melahirkan belia holistik dan bebas berkarya dalam dunia muzik.
“Program Rakan Muda dengan cabangnya Rakan Muzik merupakan kali kedua dilancarkan selepas Selangor dan kali ini diadakan di Sarawak. Program ini melibatkan semua anak Sarawak khususnya belia yang meminati seni muzik.
“Oleh itu, bakat mereka ini akan dicungkil melalui satu sesi pemilihan melibatkan Sekolah Seni Malaysia Sarawak dan beberapa pihak yang menyumbang dalam pemilihan bakat seni anak Sarawak ini,” katanya ketika ditemui TVS pada Konsert Muzik Rakan Muda Sarawak 2024 di Kuching pada Ahad.
Mengulas lanjut, Dolhadi berkata, persembahan yang ditunjukkan peserta berjaya menonjolkan bakat seni luar biasa dan mampu digilap ke peringkat lebih tinggi.
“Saya amat teruja dan bangga sekali dengan hasil yang tunjukkan, ini membuktikan bakat seni anak Sarawak banyak selain belum dipamerkan.
“Bakat ini harus digilap supaya dapat dibawa ke peringkat lebih tinggi. Saya percaya banyak lagi anak Sarawak di luar sana yang berbakat dalam bidang muzik,” ujarnya.
Konsert di bawah inisiatif Kem Muzik Rakan Muda Sarawak merupakan anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak dengan kerjasama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED).
Ia melibatkan 77 peserta dari Sarawak yang berusia 13 hingga 30 tahun.
Acara yang melabuhkan tirainya hari ini menyajikan persembahan orkestra daripada Orkestra Kem Muzik Rakan Muda dan diserikan dengan nyanyian daripada beberapa peserta.
Antara lagu yang didendangkan iaitu Kurik Kundi, Puteri Santubong, Bekikis Bulu Betis, The Young One, Wu Men Pu Yang, Mama Mia, Frozen, Reflection, Biar Mati di Tangan Sulu dan medley lagu rakyat.
Dengan muzik yang begitu dekat dengan jiwa anak muda masa kini, usaha memperbanyakkan aktiviti sebegini diharapkan dapat melahirkan generasi belia yang berpersonaliti, beridentiti dan mencerminkan muzik Malaysia yang unik.– TVS