KUCHING, 1 Dis: Saranan seorang penganalisis agar perbelanjaan modal yang seharusnya ditanggung Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dibiayai Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai tidak masuk akal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Lo Khere Chiang menganggap saranan itu sebagai menjemput seseorang ke rumah rakan, duduk makan bersama sehingga habis makanan di atas meja kemudiannya meminta rakan tersebut membayar kos memasak.
“Betapa tidak masuk akal saranan ini,” katanya ketika mengulas saranan seorang penganalisis agar apa sahaja perbelanjaan modal yang sepatutnya ditanggung PETRONAS mesti dibiayai PETROS.
Menurutnya, selepas Sarawak tidak diberikan pulangan sewajarnya iaitu 30 peratus daripada minyak yang diekstrak di wilayah ini, adalah tidak masuk akal dan tidak adil untuk memintak PETROS menanggung perbelanjaan modal kerana PETRONAS selama bertahun-tahun mengeksploitasi minyak dan gas.
Beliau berkata, jika ExxonMobil boleh memberikan Guyana 40 peratus daripada semua minyak yang diekstrak, maka PETRONAS seharusnya melakukan perkara sama untuk Sarawak.
“Lima peratus yang diterima Sarawak setiap tahun daripada PETRONAS adalah tidak adil,” ujarnya.
Pada masa sama, Lo turut menyangkal dakwaan PETROS tidak mampu mendapatkan tawaran adil seperti PETRONAS dalam berurusan dengan pemain industri besar.
Beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan ahli politik veteran, Tengku Razaleigh Hamzah yang mendakwa hanya syarikat nasional seperti PETRONAS yang mampu mengelak daripada ditekan syarikat korporat global.
“Logiknya, Sarawak seharusnya menerima peratusan seperti yang diterima Guyana daripada ExxonMobil,” jelasnya.
Sehubungan itu menurutnya, setiap rakyat Sarawak perlu bersatu menyokong Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam usaha mendapatkan semula hak minyak dan gas berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).-TVS