KUCHING, 1 Dis: Kerajaan Sarawak memperuntukkan kira-kira RM300 juta untuk melaksanakan keseluruhan sistem pengairan secara moden bagi kawasan seluas 500 hektar penanaman padi di Lubok Punggor, Gedong.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebelum ini bagi fasa pertama, Kerajaan Sarawak memberi peruntukan sebanyak RM32 juta untuk membangunkan sistem pengairan seluas 54 hektar tanaman padi bagi kawasan berkenaan.
“Sistem pengairan ini akan dilaksanakan sehingga tahun yang mana saya anggarkan mesti siap kesemuanya sekali pada tahun 2027.
“Mengenai duit (peruntukan) saya yang akan carikan. Saya berani kerana anda semua (rakyat Sarawak) ada di belakang saya. Saya berani bukan sahaja (bangunkan tanaman padi) di Gedong, tetapi juga di Tanjung Purun di Lundu dan juga Lingga di Sri Aman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Mesyuarat Perwakilan Cawangan N.26 Gedong Sesi 2024-2027, di sini, hari ini.
Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong menjelaskan negara pengeluar beras seperti Vietnam dan India pada masa ini turut menghadapi masalah tersendiri terutamanya melibatkan cuaca.
“Di Vietnam, mereka mempunyai masalah cuaca kerana berlakunya ribut taufan di negara tersebut manakala di India pula, iaitu negara yang kita beli beras pada masa ini juga mempunyai masalah kerana jarang berlakunya hujan di sana.
“Jika mereka tidak mengeluarkan padi dan beras, di manakah kita hendak membelinya? Malaysia masih mengimport beras dan Sarawak import 70 peratus beras dari luar negara,” ujarnya.
Beliau menambah, penanaman padi juga akan dibangunkan di Limbang dan Lawas.
“Saya yakin Sarawak akan menjadi pengeksport beras pada masa akan datang dengan menjadikan Gedong sebagai model,” jelasnya.-TVS