KUCHING, 1 Dis: Tindak balas awal dalam mendepani pelbagai situasi kecemasan antaranya termasuk bencana, rawatan resusitasi kardiopulmonari (CPR), kebakaran serta kemalangan merupakan antara intipati utama silibus latihan yang perlu dilalui oleh setiap ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Sarawak.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, para peserta JKKK yang juga berfungsi sebagai anggota Pasukan Bantuan Pertahanan Awam Tindak Balas Kecemasan (CDA-ERT), perlu menguasai kemahiran latihan di bawah kelolaan serta seliaan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak.
Menurutnya, kursus itu penting bukan hanya untuk melepasi syarat utama untuk diserap ke dalam pasukan JKKK dan CDA-ERT di kawasan terlibat malah sebagai responder pertama dalam menangani situasi kecemasan di kawasan selian mereka.
“Tanggungjawab untuk memaklumkan tentang bencana di tempat kejadian, maksudnya di kampung adalah di bawah tanggungjawab JKKK. Jadi, apabila bencana berlaku, merekalah orang pertama yang menyusun tadbir bersama dengan ahli-ahli JKKK yang lain mengatur persiapan dan juga membuat langkah-langkah operasi menyelamat contohnya di kala banjir, membuat keputusan di peringkat kampung, selain memaklumkan maklumat kepada jawatankuasa daerah ataupun bahagian.
“Mereka inilah yang menjadi responder pertama yang perlu menyalurkan maklumat itu, di samping mengurus kampung masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Penutupan Kursus Asas JKKK KKDW 2024 Siri Tiga di Kuching dan Penyampaian Sijil Tamat Kursus Pelantikan Pasukan Bantuan Pertahanan Awam Tindak Balas Kecemasan (CDA-ERT) Angkatan Pertahanan Awam Sarawak di Kuching pada Ahad.
Pada majlis tersebut, Rubiah turut menyampaikan sijil pelantikan dan tamat latihan JKKK KKDW Siri Tiga dan CDA-ERT kepada 135 peserta yang terdiri daripada ahli JKKK di sekitar Kota Samarahan dan Kuching yang telah melalui kursus anjuran APM Sarawak bermula dari 29 November hingga hari ini.
Pasukan CDA-ERT merupakan nadi penggerak pasukan APM kerana mereka yang terlatih ini akan menjadi responder utama kepada APM bagi menyampaikan maklumat awal tentang bencana atau apa-apa situasi berkenaan kecemasan yang berlaku.
Hadir sama Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sarawak, Mohtar Samat.-TVS