BEKENU, 1 Dis: Puteri Bunian muncul Raja Sungai Regata Subis 2024 sekali gus membawa pulang piala dan wang tunai berjumlah RM13,000.
Kejayaan tersebut diraih selepas pasukan itu menewaskan enam pasukan lain di peringkat akhir acara Bidar 30 Pekayuh Lelaki (Raja Sungai).
Naib johan pula dimenangi Ratu Riska manakala tempat ketiga disandang Singgah Tagal Sibuti yang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000 dan RM1,000.
Penyampaian hadiah kepada johan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia Dato Lukanisman Awang Sauni di Esplanade Bekenu, petang tadi.
“Pada tahun ini, sebanyak 400 pengkayuh dan pelumba menyertai pelbagai acara.
“Walaupun Regata Subis ini tidak sebesar regata lain, semangat juang yang ditonjolkan amat besar dan sokongan padu rakyat Subis kepada penganjuran ini sungguh membanggakan,” katanya Lukanisman pada Majlis Penangguhan Regata Subis di sini, hari ini.
Lukanisman turut mengumumkan inisiatif baharu Road to Regatta yang akan memperluaskan aktiviti berkaitan sungai dan pantai di pelbagai lokasi sekitar Subis sepanjang dua tahun akan datang.
“Acara ini mungkin melibatkan pertandingan sampan laju, sukan air atau aktiviti berkaitan sungai dan pantai. Ini bertujuan memastikan Subis terus aktif dan meriah,” ujarnya.
Dengan sambutan luar biasa daripada komuniti setempat dan sokongan pengunjung, Regata Subis 2024 membuktikan nilai tradisi bukan sahaja sebagai warisan kebanggaan tetapi juga sebagai alat mengukuhkan ekonomi dan hubungan komuniti.-TVS