PADAWAN, 1 Dis: Polis melakukan tiga tangkapan melibatkan kejadian kes bunuh seorang lelaki tempatan di sebuah apartment di Jalan Sungai Tapang.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, kesemua suspek akan direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh terus menghubungi Ketua Pegawai Siasatan Jenayah IPD Padawan ASP Sylvarius Gopog di talian 013-8637241,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, Bilik Gerakan IPD Padawan menerima maklumat kejadian pergaduhan di sebuah apartment di Jalan Sungai Tapang sekitar jam 4.40 pagi hari ini.
“Pasukan sisatan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan yang tiba di lokasi kejadian menemui seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun terbaring di dalam sebuah bilik di apartment tersebut.
“Terdapat kesan tetakan pada bahagian badan dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut berada di lokasi kejadian,” ujarnya.-TVS