Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol pada sesi perjumpaan dan penyampaian sumbangan dana MRP di Rumah Peter Minggat, Meradong. Foto Pusat Khidmat ADUN Semop

Pembangunan luar bandar sasaran utama Belanjawan Sarawak 2025

BINTANGOR, 1 Dis: Masyarakat di luar bandar harus merasa bangga dan dihargai kerana kerajaan Sarawak memperuntukkan dana besar menerusi Belanjawan Sarawak 2025 yang dibentang Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dewan Undangan Negeri Sarawak, baru-baru ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata RM6.8 bilion iaitu 62 peratus dari pembelanjaan pembangunan Belanjawan Sarawak khas untuk pembinaan infrastruktur dan kemudahan asas luar bandar.

Majlis perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin masyarakat Kampung Melayu Bintangor dan penyampaian sumbangan dana MRP. Foto Pusat Khidmat ADUN Semop

“Ini adalah belanjawan pembangunan terbesar pernah diluluskan kerajaan Sarawak dan penyaluran dana adalah berkiblatkan misi untuk menambah keselesaan dan kemudahan masyarakat luar bandar.

“YAB Premier telah mengingatkan semua wakil rakyat terutama yang mewakili masyarakat luar bandar untuk mengamalkan gerak kerja yang lebih agresif supaya keperluan pembangunan masyarakat pendalaman cepat mendapat perhatian dan tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Belanjawan Sarawak 2025 susulan lawatan kerja selama enam hari ke 10 penempatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop pada minggu ini.

Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM10.9 bilion iaitu 70 peratus daripada RM15.8 bilion Belanjawan Sarawak 2025 untuk tujuan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan di seluruh Sarawak.

Menurutnya lagi, dalam banyak pertemuan tertutup dengan ketua-ketua jabatan kerajaan terutama agensi yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan pelbagai projek di luar bandar, Premier turut memberi peringatan bahawa budaya dan tatakerja perkhidmatan awam mesti lebih cekap, berkesan dan pantas.

“Belanjawan pembangunan yang terbesar Sarawak untuk 2025 secara tidak langsung telah memberi ‘tekanan’ yang positif kepada semua wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) agar lebih rajin bekerja, bijak mengurus dan kreatif dalam merancang agenda pembangunan di kawasan masing-masing.

“Pendek kata wakil-wakil rakyat GPS tiada masa untuk melayan serangan retorik-retorik politik yang tidak konstruktif daripada pihak pembangkang,” katanya.

Majlis perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin masyarakat Cina Sungai Sian Bintangor dan penyampaian sumbangan dana MRP. Foto Pusat Khidmat ADUN Semop

Dalam pada itu, Abdullah yang juga ADUN Semop telah menyampaikan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM1,160,620 sepanjang lawatan kerja itu.

Sebanyak 21 organisasi yang menerima sumbangan tersebut adalah terdiri daripada empat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang yang menerima RM255,000, 13 JKKK kampung (RM770,620), dua persatuan serta kelab (RM8,000), satu jawatankuasa masjid (RM50,000) dan Majlis KMKK Kampung Melayu Bintangor (RM77,000).

Sumbangan dana ini adalah untuk menampung kos pelaksanaan projek-projek membina baru dan menaik taraf kemudahan awam seperti jeti, jalan dalam kampung, tempat parkir kenderaan, tandas, dewan masyarakat dan kos beberapa program kemasyarakatan.

“Lawatan kerja ini juga bertujuan untuk meninjau sendiri beberapa aduan dan permohonan masyarakat di beberapa penempatan,” katanya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan