KUCHING, 1 Dis: Malaysia bakal menghadapi masalah penuaan menjelang 2030 dengan 15 peratus daripada populasinya berusia 60 tahun ke atas.
Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib, kerajaan kini dalam proses membangunkan satu pelan tindakan yang akan mengambil kira semua aspek penjagaan warga emas untuk jangka masa panjang dan akan dibentangkan tahun hadapan.
“Sarawak pula akan mencapai peratusan sama pada tahun 2028.
“Kita perlu menggalakkan belia untuk berinteraksi dengan warga emas melalui aktiviti sukarelawan kerana ini boleh membantu mereka menyelami kemahuan dan pengalaman warga emas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Lions Nursing Home Food Fair 2024 di sini hari ini.
Menurutnya, belia sememangnya tidak akan dapat memahami cabaran yang dihadapi mereka disebabkan perbezaan zaman.
“Antara perkara yang boleh dikongsi adalah berkenaan perkembangan semasa, lebih-lebih lagi berkaitan teknologi.
“Saya pasti mereka sangat teruja untuk mengetahui kebolehan gajet ini dan tentu sekali mereka boleh membuat perbandingan dengan teknologi pada zaman mereka,” ujarnya.
Hanifah berkata, warga emas sememangnya menabur banyak bakti untuk pembangunan negara secara dan ia harus diberi pengiktirafan.
“Malangnya kebanyakan mereka sunyi dan ini boleh mengakibatkan kesan negatif terhadap kesihatan mental.
“Oleh itu, kita perlu memainkan peranan lebih aktif untuk merangsang fikiran dan perasaan mereka.
“Inilah antara matlamat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak yang mana kita bukan sahaja memberi fokus kepada penjagaan kesihatan mereka tetapi untuk meningkatkan taraf hidup mereka,” jelasnya.
Terdahulu, Hanifah turut menyaksikan penyerahan cek bernilai RM220,000 kepada Lions Nursing Home bagi kegunaan selenggara, baik pulih dan penambahbaikan fasiliti di rumah tersebut. – TVS