KUCHING, 1 Dis: Penganjuran Konsert Retro Pop Yeh Yeh yang diadakan di Hikmah Exchange Kuching berjaya memikat lebih 2,500 peminat genre muzik ini dengan lebih 19 lagu yang dimainkan oleh para artis.
Ketua Penganjur Konsert Retro Pop Yeh Yeh, Dr. Alim Impira berkata, kehadiran penonton pada malam tersebut sangat menarik kerana melibatkan pelbagai lapisan umur masyarakat melibatkan anak-anak kecil, orang-orang muda dalam umur pertengahan, termasuklah yang sudah dewasa.
Menurutnya lagi, dirinya menjangkakan lagu konsert 60-an ini hanya akan menarik peminat dari generasi lama namun sebaliknya konsert dengan genre muzik sebegini turut diminati dan dihadiri oleh ramai orang-orang muda.

“Kehadiran penonton sangat menarik ada budak-budak kecil, umur pertengahan, orang muda-muda dan ada yang tua jadi kita ingatkan apabila lagu konsert 60-an orang lama yang datang rupa-rupanya orang muda pun ada, apa lagi orang-orang yang berumur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual semasa Konsert Retro Pop Yeh Yeh di Hikmah Exchange di Kuching malam tadi.
Tambahnya, dengan kehadiran orang ramai yang menggalakkan pada konsert kali ini akan memastikan ia mampu dianjurkan pada tahun hadapan dan pada setiap tahunnya.
Ujarnya lagi, jika diberikan peluang penganjuran konsert seterusnya diharap mampu dilaksanakan di tempat yang lebih besar agar lebih ramai peminat lagu-lagu 60-an akan datang beramai-ramai untuk menyokong industri muzik, terutama sekali yang seumur dengannya.
“Berdasarkan penonton yang datang, umur yang datang, kita berharap konsert Retro Pop Yeh Yeh ini akan diteruskan dan diadakan pada setiap tahun. Itu kita punya harapan,” jelasnya.
Antara artis yang membuat persembahan semasa konsert ini adalah A. Rozaini, Ahmad Yassin, A. Rahman Onn, Haziq Rosebi, Dato L. Ramli, Datuk Jeffrydin dan kumpulan Kugiran Masdo. -TVS