MIRI, 1 DIS: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menekankan kepentingan penilaian pelajar di sekolah sebagai asas untuk meningkatkan mutu pendidikan dan pembangunan generasi akan datang.
Menurut Abang Johari, pendekatan itu penting untuk melahirkan pelajar yang holistik dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
“Tetapi anak Sarawak mesti diajar dengan sebaik mungkin.. sebab itu dari sudut pendidikan di Sarawak kita akan menyediakan penilaian untuk anak-anak kita di sekolah..
“Kalau tidak ada peperiksaan macam mana kita nak tahu anak-anak kita pandai ataupun tidak?,” kata Abang Johari ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Loji Kuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) Miri, pada Sabtu.
Selasa lalu di Dewan Rakyat, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menyatakan bahawa keputusan Kementerian Pendidikan memansuhkan pembelajaran berorientasikan peperiksaan di sekolah bertujuan mengurangkan tekanan murid.
Menurut Fadhlina, KPM akan memberi fokus kepada pembelajaran berasaskan pertanyaan, penerokaan, pengalaman, konteks, serta pentaksiran yang menilai pembangunan holistik murid. – TVS