KUCHING, 30 Nov: Usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA) harus memanfaatkan dan mengambil peluang yang wujud menerusi platform e-dagang untuk memperluaskan capaian rangkaian perniagaan mereka.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, platform itu bukan hanya mengubah cara sebuah perniagaan itu beroperasi, malah ia turut mempertingkatkan jangkauan pasaran kepada perniagaan terbabit.
Keadaan itu katanya, membantu meningkatkan daya saing sesebuah perusahaan itu dalam landskap ekonomi semasa.
“Perubahan ini membawa peluang dan cabaran serta menekankan keperluan untuk usahawan menyesuaikan diri dan berinovasi agar dapat berkembang dalam era digital, beralih dengan pantas kepada model e-dagang dan memanfaatkan platform dalam talian bagi meluaskan kelompok pelanggan mereka.
“Menurut penyelidikan pasaran oleh Mordor Intelligence, di Malaysia pasaran e-dagang diunjurkan mencecah US$10.72 billion pada tahun 2024 dan akan terus meningkat kepada US$20.93 billion menjelang tahun 2029,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Pemerkasaan Wanita Komuniti MARA di Plaza Merdeka di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Perbadanan Perusahaan Kecil Sederhana Malaysia (SME Corp) bagi tahun lalu, Perusahana Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menyumbang sebanyak RM613 bilion, bersamaan 39.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Data tersebut katanya, membuktikan kepentingan PMKS sebagai salah satu daripada pemangkin utama pengukuhan ekonomi negara.
Perkembangan positif tersebut juga jelas Rubiah memacu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk mensasarkan sumbangan 41 peratus kepada KDNK negara daripada sektor PMKS. -TVS