KUCHING, 30 Nov: Sebanyak 26,000 pain darah disasarkan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Cawangan Kuching pada tahun depan menerusi penganjuran larian amal Run To Save Lives 5.0.
Timbalan Pengerusi PBSM Cawangan Kuching, Dr. Chou Chii Ming, berkata, pihaknya juga menyasarkan penyertaan seramai 2,500 pelari dalam acara larian yang dijadualkan berlangsung di Ruang Legar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) pada 22 Jun tahun depan.
“Acara larian yang kini memasuki tahun kelima bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat melalui sukan dan mengumpul dana bagi menampung kos operasi kempen pengambilan serta pendermaan darah.
“Kami menyasarkan untuk mengumpul RM150,000 pada tahun 2025 dan mengumpulkan 26,000 pain darah untuk Pusat Bank Darah Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan sokongan berterusan masyarakat Kuching,” katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Penderma Darah 2024 di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin dan Pengarah Hospital Umum Sarawak (HUS) Dr. Ngian Hie Ung.
Beliau menambah, pendaftaran untuk Run To Save Lives 5.0 sudah dibuka secara dalam talian dan manual.
Larian tersebut melibatkan dua kategori iaitu tiga kilometer (KM) dan lima KM.
Pendaftaran kini dibuka dengan tawaran Super Early Bird serendah RM15 sehingga 31 Disember ini melalui laman sesawang https://www.ticket2u.com.my/event/39640/run-to-save-lives-5.0.
Pendaftaran akan ditutup pada 17 Mei 2025 dan untuk maklumat lanjut sila hubungi Joseph di talian 010-8075510 atau Fiona di talian 019-8878018. – TVS