KUCHING, 30 Nov: Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Cawangan Kuching menyasarkan 10,000 wanita menderma darah dalam tempoh dua tahun akan datang.
Pengerusi Perkhidmatan Pengambilan Darah PBSM Cawangan Kuching, John Jong berkata, sasaran terssebut ditetapkan berdasarkan trend peningkatan penderma wanita yang direkodkan iaitu 9.8 peratus atau 9,073 penderma tahun lepas.
“Pada tahun 2023, Pusat Bank Darah Hospital Umum Sarawak menerima 25,211 unit darah (pain), meningkat 6.2 peratus berbanding 23,745 unit pada tahun 2022. Selain itu, terdapat peningkatan sebanyak tiga peratus bagi penderma baharu iaitu seramai 4,477 individu menderma buat kali pertama pada tahun 2023 berbanding 4,356 individu pada tahun sebelumnya.
“Dari segi jantina, jumlah penderma lelaki pada tahun 2023 adalah 16,138 orang, manakala penderma wanita adalah 9,073 orang, dengan nisbah yang kekal stabil pada 64:36,” katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Penderma Darah 2024 di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin dan Pengarah Hospital Umum Sarawak (HUS), Dr. Ngian Hie Ung.
John turut menyatakan sistem pengambilan dan pendermaan darah kini semakin teratur serta diselaraskan dengan baik.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pengarah Hospital Umum Sarawak, kakitangan Bank Darah, dan pihak yang menyumbangkan hadiah istimewa kepada penderma darah.
“Marilah kita terus bekerjasama demi kesejahteraan komuniti kita,” ujarnya.
Pada majlis itu, seramai 10 penderma darah menerima penghargaan dalam bentuk Sijil Anugerah Penderma Darah Sukarela merangkumi Kho Boon Seng (180 pain), Peter Lim Eng Choon (155 pain), Sopran Mohamad (155 pain), Ismail Zakira (140 pain) dan Wan Dobil Wan Sulaiman (125 pain).
Lima penerima lain ialah Ahmad Radzuan Abu Bakar (120 pain), Kasbendi Senong (120 pain), Wan Ismail Wan Bala’o (120 pain), Aminah Morshidi (110 pain) dan Phyllis Kho Liang Kuang (75 pain). – TVS