MIRI, 30 Nov: Sarawak menjadi peneraju penggunaan teknologi campuran dalam penghasilan tenaga elektrik di rantau ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia menjadikan bekalan elektrik di Sarawak sebagai low carbon footprint.
“Jika dulu SESCO belum menggunakan teknologi ini, namun kini kita menggunakannya. Mungkin untuk di kawasan ini, Sarawak yang pertama menggunakan Kuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT), Indonesia belum lagi dan juga Semenanjung Malaysia memang tiada.
“Begitu juga dengan negara-negara seperti Laos dan Thailand, juga mungkin belum. Kita yang pertama. Jadi bekalan elektrik di Sarawak adalah disebut sebagai low carbon footprint. Jadi kita ini adalah lestari dan ini akan membangunkan kawasan kita. Selepas ini kita akan bangunkan juga di Bintulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Loji Kuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) Miri, di sini hari ini.
Menurutnya, projek yang dikendalikan oleh PETROS ini bernilai RM2 bilion dan mampu membekalkan sebanyak 500 megawatt.
Tenaga tersebut akan dijana oleh gas dan turbin stim yang merupakan teknologi baharu berteraskan gabungan antara hidrogen dengan gas.
“Kedua membekalkan elektrik di seluruh kawasan utara Sarawak termasuk Bintulu. Miri, Limbang, Lawas dan kemungkinan dengan adanya 500mw ini sebahagiannya akan kita kembangkan kerana kita ada perjanjian untuk membekal elektrik ke Sabah.
“Dan ini adalah satu grid penjanaan tenaga yang kita bekalkan kepada Sabah. Bermakna dengan adanya 500mw ini ia akan memberikan kesan positif kepada pembangunan ekonomi di seluruh kawasan utara Sarawak termasuklah pembuatan dan perkhidmatan,” ujarnya. – TVS