KUCHING, 30 NOV: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) mensasarkan pendapatan eksport berjumlah RM8 bilion setahun menjelang 2030.
Pengurus Besar PUSAKA, Zainal Abidin Abdullah berkata ia selaras dengan perancangan jangka panjang melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Sasaran ini memberi fokus kepada beberapa perkara penting seperti, meningkatkan industri panel untuk menjana pendapatan eksport antara RM2.5 bilion hingga RM3 bilion, mempromosikan pembangunan industri kayu kejuruteraan untuk menambah nilai kepada kayu gergaji dari RM700 juta kepada RM1 bilion, membangunkan industri perabot untuk menjana pendapatan eksport sebanyak RM4 bilion menjelang 2030.
“Merancakkan industri biojisim hijau untuk mencapai pendapatan eksport sebanyak RM0.5 bilion dan membangunkan industri berasaskan buluh untuk menjana pendapatan eksport antara RM200 juta hingga RM500 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi PUSAKA 2024di Riverside Majestic Hotel di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu Zainal berkata, industri hiliran perkayuan di Sarawak perlu ditransformasikan ke arah industri perkayuan yang maju dan lestari bagi memastikan penggunaan sumber bahan mentah ke arah pulangan yang optimum.
“PUSAKA juga memainkan peranan sebagai pemangkin industri perkayuan berdasarkan lapan teras strategik iaitu Transformasi & Reformasi Industri Perkayuan, Kecemerlangan Penyelidikan dan Pembangunan, Kecemerlangan Undang-Undang, Dasar dan Penguatkuasaan, Kecemerlangan Proses & Perkhidmatan, Kecemerlangan Prestasi Kewangan & Pelaburan, Kecemerlangan Modal Insan, Kecemerlangan Teknologi Digital & Komunikasi dan Kecemerlangan Imej Korporat,” tambahnya lagi. – TVS