KUCHING, 30 Nov: Penerapan bahasa isyarat Malaysia (BIM) di peringkat tadika diyakini mampu memberi pendedahan awal penggunaan bahasa isyarat dalam kalangan kanak-kanak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pendekatan tersebut merupakan satu perkembangan baik untuk Sarawak yang memberi penekanan kepada insitusi pendidikan awal bagi memulakan pendedahan kepada pengenalan bahasa isyarat.
Menurutnya, ia secara tidak langsung akan membudahkan proses komunikasi dengan golongan pekak di Sarawak.
“Apabila menjadi menteri, salah satu perkara yang ingin saya tanamkan dalam kalangan kanak-kanak kecil adalah untuk mewujudkan kesedaran bahawa ada orang yang berbeza daripada mereka.
“Supaya mereka mempunyai nilai persefahaman itu, walaupun mereka masih muda sekali gus memupuk nilai menghormati orang lain yang berbeza dengan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Book Of Understanding Deaf Culture 2.0 di Persatuan Orang-Orang Pekak Sarawak di Kuching pada Jumaat.
Setakat ini, sebanyak 87.36 peratus atau 152 daripada 174 orang guru SeDidik yang telah mengikuti kursus bahasa isyarat.
Kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun yang bersekolah di Taska SeDidik telah mempelajari bahasa isyarat dan setakat ini seramai 2,216 kanak-kanak mengikuti sesi pelajaran dan pembelajaran tersebut.
Antara inisiatif pendedahan BIM di Taska SeDidik adalah semasa perhimpunan pagi, kanak-kanak akan menonton video lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku yang menggunakan bahasa isyarat. -TVS