BUKIT MERTAJAM, 30 Nov: Golongan majikan diingatkan agar tidak membuat potongan gaji pekerja mereka yang ditimpa musibah banjir seperti yang termaktub dalam undang-undang dan akta pekerja.
Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Steven Sim Chee Keong berkata, urusan gaji pekerja adalah tertakluk di bawah Akta Kerja 1995 di Semenanjung Malaysia serta Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak.
Katanya, majikan diharap dapat memberi pertimbangan sewajarnya terhadap pekerja yang tidak dapat hadir ke tempat kerja akibat bencana bagi memastikan hak pekerja dan majikan dapat diselesaikan secara bertoleransi.
“Gaji harus berjalan (walaupun terjejas banjir) kerana di bawah akta ini, gaji tidak boleh dipotong kecuali yang dinyatakan dalam undang-undang.
“Ia contohnya potongan untuk cukai berkala serta untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Pekerja (PERKESO) dan sebagainya,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI KESUMA di Kampung Baru Alma di sini.
Sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi melaksanakan projek dan program di kampung itu bersama tiga buah kampung lain di dalam Parlimen Bukit Mertajam yang merangkumi penambahbaikan jalan dan longkang, pembinaan pintu gerabang serta sumbangan penghawa dingin kepada masjid dan surau.
Sementara itu, Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, pihaknya meminta pihak majikan dan pekerja yang terjejas banjir untuk mendapatkan bimbingan dan bantuan daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) berhubung penyelarasan kerja termasuklah gaji dan cuti.
“Mereka boleh tampil ke pejabat JTK berhampiran dan kalau terjejas banjir boleh hanya telefon atau emel pegawai JTK untuk khidmat nasihat sewajarnya.
“Aturan kerja boleh diperincikan secara harmoni bukan sahaja dari segi (kebajikan) pekerja, tetapi juga majikan kerana kita faham bencana sesuatu yang tidak dapat dielakkan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Sim berkata, pihaknya menerusi kira-kira 100,000 sukarelawan Wira KESUMA yang merangkumi penuntut di 33 buah Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan petugas KESUMA akan digerakkan bagi membatu mangsa banjir yang terjejas di beberapa negeri ketika ini. – TVS