MIRI, 30 Nov: Borneo Jazz Festival 2024 pada malam pertama menghidangkan persembahan yang penuh dengan kreativiti dan keunikan apabila kumpulan muzik Ta’Dan, yang diterajui oleh Protasindra ‘Ta’ dan Daniel ‘Dan’, membuat penampilan pertama mereka di festival tersebut di Eastwood Valley Golf and Country Club, Miri pada Jumaat.
Meskipun sudah mengikuti festival ini sudah lama, namun ini adalah kali pertama mereka tampil di atas pentas Borneo Jazz.
Kumpulan ini, yang terkenal dengan pendekatan muzik eksperimen mereka, membawa suasana baru ke dalam dunia muzik jazz dengan memadukan elemen-elemen muzik tradisional Sarawak.
“Ini adalah pengalaman yang sangat diberkati bagi kami, dan kami tidak sabar untuk berkongsi karya kami dengan penonton di Borneo Jazz,” kata Protasindra.
Mengenai konsep muzik mereka, Protasindra dan Daniel menjelaskan bahawa mereka lebih suka bereksperimen dengan pelbagai kemungkinan dalam muzik.
“Kami cuba memainkan pelbagai instrumen, termasuk alat muzik tradisional Sarawak seperti gendang, yang bukan sahaja menambah warna dalam karya kami tetapi juga mencerminkan kehidupan dan persekitaran kami,” kata Daniel.
“Kami lebih kepada ekspresi diri. Bunyi-bunyi ini datang secara semulajadi daripada kehidupan kami, dan kami rasa ia memberi dimensi yang lebih dalam pada muzik yang kami cipta,” katanya lagi.
Kumpulan ini juga turut menekankan kepentingan memanfaatkan bunyi asli persekitaran untuk menghasilkan karya yang lebih asli.
“Setiap bunyi mempunyai tonasi dan kesan yang unik, dan ia memberi rasa yang lebih mendalam pada setiap lagu yang kami hasilkan,” ujar Protasindra. – TVS