KUCHING, 30 Nov: Pemain pertahanan Kuching City FC, Jimmy Raymond melahirkan rasa bangga selepas terpilih menyertai Harimau Malaya sekali gus merealisasikan impiannya menjadi pemain kebangsaan.
Jimmy berkata, peluang dipanggil menyertai skuad kendalian Pau Marti Vicente merupakan penghormatan besar dan detik paling bermakna dalam karier bola sepaknya.
“Saya amat berbangga dan terharu kerana ini adalah impian saya selama ini sebagai pemain bola sepak.
“Dan saya amat bersedia dengan tugasan ini kerana ini adalah impian setiap pemain,” kata Jimmy ketika dihubungi TVS di sini, hari ini.
Dalam pada itu Jimmy,28, melihat intensiti tinggi ketika beraksi di peringkat antarabangsa akan menjadi cabaran besar yang perlu dihadapi.
“Semestinya saya berharap dapat memberi impak positif dan memberi kemenangan kepada Malaysia,” ujarnya.
Terdahulu, pada Jumaat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 26 pemain bagi membawa cabaran negara untuk beraksi dalam saingan Piala AFF 2024 yang akan berlangsung dari 8 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025 .
Selain Jimmy yang diumum antara muka baharu, seorang lagi perancang utama Kuching City FC Danial Amier Norhisham turut dipanggil kembali untuk menggalas tanggungjawab negara. – TVS