LAWAS, 30 Nov: Projek Jambatan Batang Trusan dan Jambatan Bandar Lawas di bawah pakej Lebuhraya Pesisir Utara bakal meningkatkan jaringan dan akses jalan raya lebih baik kepada rakyat di utara wilayah ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kedua-dua projek yang diluluskan kerajaan negeri itu dijangka mengambil masa kira-kira 48 bulan pelaksanaan.
“Jambatan Batang Trusan dan Jambatan Bandar Lawas sebahagian daripada pakej Lebuhraya Pesisir Utara selain pembinaan jeti yang akan dijadikan sebagai asas untuk kita membina pelabuhan.
“Projek ini sudah dilulus oleh kabinet berhubung dengan kontrak kotraktor dan terdapat lima seksyen keseluruhannya, melibatkan tiga seksyen di Limbang dan dua seksyen di Lawas,” katanya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bukit Sari di sini hari ini.
Hadir sama ialah isteri beliau Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong, Setiausaha Eksekutif Parti PBB Sarawak, Datuk Awang Bujang Awang Antek dan Timbalan Ketua Cawangan Parti PBB Bukit Sari yang juga Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abidin Dato Pengiran Jawa.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu menjelaskan apabila kedua jambatan itu siap kelak ia memudahkan pihaknya membangunkan kawasan seberang sungai yang terlibat berdasarkan pelan induk pembangunan yang diluluskan sebelum ini.
Katanya, pelan induk pembangunan itu merangkumi pembinaan perumahan, bangunan komersial dan kerajaan untuk kemudahan komuniti di kawasan berkenaan.
Pada masa ini katanya, Lebuhraya Pesisir Utara pakej satu sudah bermula dan akan diteruskan mengikut pakej-pakej seterusnya.
Projek itu dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA). – TVS