MIRI, 30 Nov: Trio pemuzik Malaysia, The Shang Sisters teruja untuk memukau penonton pada hari kedua Borneo Jazz Festival 2024 dengan alunan muzik ‘Nanyang Jazz’ di Eastwood Valley Golf and Country Club, Miri, hari ini.
“Kami sangat teruja kerana ini adalah kali pertama kami tampil di Borneo Jazz Festival, sebuah festival berprestij yang telah lama bertapak di sini,” kata The Shang Sisters ketika ditemu bual oleh TVS sebentar tadi.
The Shang Sisters menjelaskan konsep muzik mereka ialah Nanyang Jazz iaitu gabungan unik dari segi bunyi, pemandangan, dan perasaan yang mencerminkan pengalaman mereka sebagai pemuzik Malaysia.
“Kami menggabungkan semua inspirasi yang kami peroleh sejak kecil hingga kini, dari pengalaman bekerja sebagai pemuzik serta pengaruh bunyi dan pemandangan yang kami temui daripada rakan-rakan pemuzik di Malaysia dan antarabangsa.
“Ia seperti potpourri lagu-lagu lama dan baru, barat dan timur. Sesuatu yang sangat Malaysia, seperti rojak, merangkumi lagu-lagu dalam pelbagai bahasa seperti Melayu, Hokkien, Cina, Mandarin, dan Inggeris,” jelas mereka.
The Shang Sisters menyimpan harap untuk kembali berkunjung ke Sarawak selepas ini untuk mempromosikan muzik Nanyang Jazz kepada peminat muzik di wilayah ini. —TVS