SARIKEI, 30 Nov: Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abdul Wahab memberi jaminan bantuan pendidikan yang disalurkan menerusi pusat khidmatnya akan diteruskan pada tahun depan.
Beliau berkata, inisiatif itu penting bagi meringankan beban ibu bapa atau penjaga pelajar khususnya dari keluarga kurang berkemampuan.
Menurutnya, sejak program bantuan itu diperkenalkan, bilangan pelajar yang mengemukakan permohonan menunjukkan peningkatan.
“Secara purata Pusat Khidmat Parlimen Tanjong Manis memperuntukkan kira-kira RM150,000 hingga RM200,000 setahun bagi tujuan ini.
“Semakin ramai yang minta bantuan dan sudah pasti saya gembira, kerana semakin ramai anak kita melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.
“Saya tidak berhasrat menghentikan atau menghadkannya,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Kerjaya Dan Pendidikan Serta Hari Terbuka Pendidikan Pejabat Pendidikan Daerah Sarikei 2024, hari ini.
Sehubungan itu Yusuf mempelawa mana-mana pelajar yang mendapat tawaran melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) agar mengemukakan permohonan kerana tidak ada had tarikh tertentu bagi tujuan itu.
Terdahulu dalam ucapan, beliau mahu anak Sarawak melengkapkan diri dengan ilmu kerana negara sangat memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran dan berkemampuan tinggi dalam bidang teknologi lebih-lebih lagi dalam dunia digital dan kecerdasan buatan(AI).
Katanya, penganjuran program yang berkaitan mampu membuka minda dan menarik minat generasi muda ke arah teknologi sejajar hasrat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. -TVS