GEDONG, 29 Nov: Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membangunkan sistem pengairan di kawasan seluas 54.4 hektar untuk penanaman padi di Lubok Punggor.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan sistem tersebut menelan belanja RM30 juta dan diluluskan pada Februari tahun ini.
“Dengan adanya model ini, kita akan luaskan kepada seluruh 520 hektar yang mana ia akan mengikut blok demi blok dan sampai kepada semua blok ini, kita jangkakan bahawa pengeluaran padi berdasarkan struktur semasa ini, kita boleh capai sehingga lebih kurang lima tan.
“Tetapi, kalau kita ada sistem yang cekap dengan apa hendak kita bangunkan ini, ia boleh naik hingga ke tahap lapan tan (pengeluaran padi),” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek Rakyat: Skim Rehabilitasi Mid Sadong I (Lubok Punggor), di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Mengulas lanjut Abang Johari berkata, pendekatan melalui model yang sama turut digunakan di Tanjung Purun di Lundu, Tanjung Bijat dan Stumbin di Sri Aman serta Lingga yang mempunyai campuran keluasan keseluruhan sebanyak 3,000 hektar.
“Jika keluasan tanah 3,000 hektar dibangunkan, maka ia sedikit sebanyak akan menambah pengeluaran beras yang mana saya fikir sekurang-kurangnya 50 peratus kehendak beras dalam negeri,” ujarnya.
Abang Johari menjelaskan, model pengairan sedemikian juga akan dibangunkan di kawasan Limbang dan Lawas yang akan memberikan penambahan terhadap pengeluaran beras Sarawak.
“Kalau kita campur semuanya, kawasan yang berpotensi (untuk dibangunkan) ialah 61,340 hektar termasuk pekebun-pekebun kecil di kawasan seperti Spaoh, Rajang, Ba’kelalan dan di kebun-kebun yang lain, maka pengeluaran beras kita akan mencukupi atau mungkin lebih untuk kita eksport ke luar Sarawak.
“Jadi, pada mulanya sasaran kita adalah pada 2030, tetapi mungkin dapat dianjak kepada 2027 jika projek ini dapat dilaksanakan dengan cepat, khususnya melibatkan ‘farm’ DID,” jelasnya. – TVS