KUCHING, 29 Nov: Kekangan atau beban kewangan yang berat dilihat mampu menjejaskan kemampuan untuk menampung perbelanjaan asas anak, malah ia turut memberi kesan kepada emosi dan mental pelajar.
Oleh itu, pihak yang terlibat digalak untuk melakukan perancangan kewangan awal bagi anak mereka yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat universiti.
Dalam usaha itu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam satu kenyataan menyeru ibu bapa untuk menguna pakai perkhidmatan yang ditawarkan, iaitu Simpan SSPN yang merupakan platform simpanan khusus bagi pendidikan.
“PTPTN adalah Tabung Pendidikan untuk anak-anak anda dan kami akan sentiasa membantu andadalam membuat perancangan kewangan untuk masa depan anak-anak. PTPTN juga menggalakkan semua masyarakat Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya satu akaun Simpan SSPN untuk satu keluarga kerana terdapat pelbagai keistimewaan dan manfaat yang ditawarkan melalui
simpanan ini,” kata kenyataan terbabit.
Dalam pada itu, kenyataan turut menjemput orang ramai untuk memeriahkan Program Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Bersama PTPTN Tahun 2024 yang akan berlangsung 30 November 2024 (Sabtu) bertempat di Level 3, Exhibition Hall, Boulevard Shopping Mall, Miri dari jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang.
Pelbagai aktiviti menarik akan menanti orang ramai di sana, antaranya Cabutan Tahunan WOW! Simpan SSPN 2024 yang bakal diadakan sehingga 31 Disember, dengan hadiah keseluruhan lebih RM842,000 untuk dimenangi 78 pemenang.
Maklumat lanjut berkenaan jadual dan lokasi program boleh layari Facebook Pejabat PTPTN Negeri Sarawak. – TVS