KUCHING, 29 Nov: Festival Muzik dan Seni Antarabangsa Sarawak (SIFMA) 2024 menjadi platform menyerlahkan identiti Sarawak yang mempunyai kekayaan budaya unik.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran SIFMA buat kali kelima membuktikan wilayah ini mampu menjadi tuan rumah kepada program bertaraf antarabangsa.
Menurutnya, ia sejajar dengan aspirasi wilayah ini untuk menubuhkan Pusat Seni Persembahan bagi mempamerkan seni persembahan dan bakat untuk diangkat ke peringkat tertinggi.
“Saya amat menyokong penganjuran program sebegini kerana kita sedang dalam proses mewujud serta membina pusat seni persembahan, jadi menerusi aktiviti sebegini kita dapat mengumpul dan mencungkil bakat dan individu yang cinta terhadap bidang seni serta industri kreatif.
“Ia sekali gus menjadi asas (bakat dan penggiat seni) yang perlu dipupuk terlebih dahulu sebelum adanya di pusat seni itu kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Festival Muzik dan Seni Antarabangsa Sarawak (SIFMA) 2024 di Kuching pada Jumaat.
SIFMA 2024 akan menampilkan pemuzik antarabangsa termasuklah Dr. Poom Prommachart dari Thailand, kumpulan tarian teater Dua Space dari Malaysia.
Festival Muzik dan Seni Antarabangsa Sarawak (SIFMA) 2024 akan berlangsung bermula pada 7 hingga 8 Disember bertempat di Dewan Undangan Negeri Sarawak.-TVS