BINTULU, 29 Nov: Seorang pesara syarikat swasta di sini kerugian RM400,000 selepas terpedaya dengan tawaran kerja tidak wujud melalui aplikasi Whatsapp.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, mangsa lelaki berusia 60-an yang berada di rumah telah dihubungi suspek yang juga seorang kenalannya dari Taiwan melalui aplikasi Whatsapp pada penghujung Oktober lalu.
“Suspek menawarkan satu pekerjaan tempahan hotel dalam talian yang menjanjikan komisen tinggi dengan mangsa diarahkan untuk mendaftar sebagai ahli perniagaan di satu laman sesawang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, pada mulanya mangsa menerima komisen tinggi hasil daripada pekerjaan itu.
“Kemudian suspek mengarahkan mangsa untuk membuat transaksi tambahan bagi meningkatkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk membolehkan mangsa menerima komisen lebih tinggi.
“Mangsa yang terperdaya telah melakukan beberapa transaksi pemindahan wang secara berperingkat berjumlah lebih kurang RM400,000 ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek,” ujarnya.
Jelasnya, mangsa hanya menyedari dirinya tertipu selepas masih diminta untuk melakukan transaksi kewangan susulan, namun tidak menerima komisen seterusnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-TVS