KUCHING, 29 Nov: Ekspo dan Persidangan BorneoCraft Global 2024 (BCG 2024) menjadi platform memartabatkan dan mempopularkan kraf tangan Sarawak hingga ke peringkat global.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia memainkan peranan penting dalam membangunkan ekosistem yang membantu mempromosi hasil seni kraf tangan, pakar dan penggiat kraf di wilayah ini.
Menurutnya, ekspo dan persidangan yang julung kali diadakan itu merupakan wadah mengangkat segmen kraf di wilayah ini ke peringkat tertinggi.
“Persidangan ini meraikan kreativiti, warisan budaya, mempromosi dan memperkasa perpaduan melalui seni. Ia juga merupakan platform penyatuan pendapat dan idea daripada latar belakang yang pelbagai, perkongsian pendapat dan menjana inovasi dan memperkukuh kerjasama rentas sempadan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo dan Persidangan BorneoCraft Global 2024 (BCG 2024) di Kuching pada Jumaat.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan menjelaskan, BCG 2024 akan memperluas segmen kraf tangan wilayah ini dan pada masa sama memastikan kemampanan industri kraf.
“Dalam usaha kita untuk mendalami dunia kraf, kita perlu memastikan yang kita tidak melupakan terus kepentingan untuk memelihara kebudayaan serta warisan kita selain mendukung dan menyokong artis tempatan.
“Untuk memastikan kelestarian budaya kita untuk generasi kini dan mendatang, kita perlu memupuk bakat yang ada dan bakat baharu dengan menyediakan serta melengkapkan mereka dengan pelbagai bantuan,” jelasnya.
Seramai 30 peserta yang terdiri daripada pakar, penyelidik, penggiat, aktivis kraf serta pelajar seni kraf dari dalam dan luar negara terlibat dalam BCG 2024 yang bermula dari 27 November hingga 1 Disember nanti.-TVS