KUCHING, 29 Nov: Seorang lelaki melecur di bahagian tangan ketika memadam kebakaran tong gas di kediamannya di Jalan Ang Cheng Ho di sini, pada Khamis.
Komander Operasi, Philip Dugat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 11.06 malam dengan menggerakkan 11 anggota Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Padungan ke loasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan tong gas memasak dan api telah berjaya dipadam oleh penyewa rumah menggunakan media pemadaman air.
“Pihak bomba bertindak membawa keluar tong gas dan mengeluarkan gas LPG sehingga habis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kejadian berlaku di tingkat 2 bangunan rumah kedai yang disewa oleh mangsa.
“Tiada operasi pemadamam dijalankan. Anggota bomba memberi rawatan awal kepada penyewa yang mengalami cedera ringan melecur pada tangan kanan semasa melakukan pemadaman awal.
“Mangsa memaklum akan ke hospital swasta menggunakan kenderaan sendiri untuk mendapat rawatan,” ujarnya. – TVS