KUALA LUMPUR, 29 Nov: Kumpulan Affin memeterai pembaharuan penajaan selama tiga tahun bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), dalam usaha konglomerat perkhidmatan kewangan itu untuk terus membantu mempertingkatkan mutu sukan negara.
Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, Affin akan menyokong inisiatif BAM bermula daripada peringkat pembangunan bakat muda sehingga senior dengan jumlah perjanjian penajaan mencecah jutaan ringgit.
“Tajaan ini disalurkan terus kepada BAM, tidak melibatkan tajaan kepada individu. Jumlahnya adalah jutaan ringgit.
“Kami berharap dengan tajaan ini, kami (Affin) dapat menaikkan pasukan negara ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya pada majlis perjanjian penajaan itu yang berlangsung di Menara Affin @ TRX di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Datuk V. Subramaniam dan barisan pemain badminton negara yang bernaung di bawah BAM, iaitu pasangan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, pasangan beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah dan pasangan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Mengulas lanjut Wan Razly berkata, sebagai sebahagian daripada perkongsian itu, Affin kekal sebagai penaja utama bersama untuk program pembangunan remaja utama BAM, AFFIN 100 Plus Junior Elite Tour melibatkan kejohanan yang dilangsungkan di seluruh negara.
Inisiatif itu, katanya bertujuan untuk memupuk bakat baharu dan menyemai semangat kecemerlangan dalam kalangan mereka.
“Logo Affin akan dipamerkan dengan jelas pada seluar pendek kejohanan dan jersi latihan pasukan kebangsaan, melambangkan sokongan padu kepada badminton Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Razly turut memaklumkan, perjanjian yang dimeterai itu juga menyaksikan pemain – pemain badminton negara akan menerima bimbingan daripada AFFIN dalam aspek pengurusan kewangan yang lebih teratur dan cekap.
“Kita membantu dengan mempersiapkan mereka untuk kehidupan selepas badminton (pesaraan).
“Ini adalah selari dengan permintaan BAM untuk melihat bagaimana mereka ini selepas tidak lagi bergelar atlet,” ujarnya.
Penajaan selama tiga tahun itu yang tamat pada Disember 2027 disifatkan dapat meningkat sudut kewangan BAM dalam usaha badan induk itu untuk memperhebatkan skuad ke temasya Sukan Olimpik Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada 2028. – TVS