GEDONG, 29 Nov: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan dipecahkan kepada dua unit berbeza menjelang penghujung tahun untuk memenuhi keperluan pertanian luar bandar dan pengairan di bandar dengan lebih baik.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, satu unit akan diwujudkan di bawah Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) Sarawak untuk memberikan tumpuan kepada pembangunan sistem pengairan kawasan pertanian.
“Sebuah lagi unit di bawah Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak yang diketuai oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian akan menguruskan isu saliran bandar termasuk pencegahan banjir di Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek Rakyat: Skim Rehabilitasi Mid Sadong I (Lubok Punggor), di sini, hari ini.
Menurutnya, beliau turut memberi jaminan bahawa pembahagian JPS akan disokong dengan pembiayaan khusus untuk memperkukuh pembangunan pertanian.
“Saya telah mengumumkan RM1 bilion bagi tujuan ini, bermula dengan RM30 juta untuk fasa awal projek transformasi padi seluas 54.4 hektar bagi memperluaskan projek kepada 500 hektar yang akan memerlukan kira-kira RM100 juta.
“Dana tersebut akan diperuntukkan kepada M-FICORD untuk menubuhkan unit JPS yang baharu yang bertumpu kepada pertanian. Pembiayaan bukan satu isu kerana kita akan memastikan bajet itu dapat memberi manfaat kepada rakyat secara langsung,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong turut memberi penekanan kepada rancangan menggiatkan semula penanaman kelapa dan nanas di samping pengeluaran padi yang mampu dijadikan sebagai industri hiliran.
“Kita akan menggantikan 100 hektar pokok kelapa tua di Kampung Lubok Terangas dengan penanaman kelapa jenis baharu yang rendah tetapi mengeluarkan hasil yang tinggi.
“Usaha sama juga akan dilakukan di kawasan Sebangan yang mempunyai pokok kelapa yang sudah tua dan condong, selain penanaman nanas turut akan dilaksanakan di kawasan pantai,” ujarnya.
Jelas Abang Johari, tanaman seperti padi, kelapa dan nanas akan mampu membentuk tulang belakang ekonomi pertanian negeri manakala tanaman lain pula boleh ditanam sebagai aktiviti tambahan. – TVS