KUCHING, 29 Nov: Dua inisiatif baharu diperkenalkan Kerajaan Sarawak kepada warga emas di wilayah ini agar kebajikan golongan tersebut terus dipelihara.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, menerusi inisiatif itu, bantuan kemudahan kesihatan diberikan menerusi program Senior Citizen Health Care Benefit manakala bantuan kewangan diberikan menerusi Skim Sokongan Kewangan.
Menurutnya, perlaksanaan dua inisiatif berupa bantuan kewangan itu membuktikan keperihatinan Kerajaan Sarawak terhadap golongan tersebut selain persediaan menuju negeri menua menjelang 2028.
“Ianya (Senior Citizen Health Care Benefit) adalah bantuan bernilai RM 500 setahun bagi memudahkan warga emas mendapatkan rawatan kesihatan di mana-mana klinik dan hospital swasta berdaftar.
“Warga emas perlu membawa kad pengenalan ke mana-mana klinik dan hospital swasta berdaftar dan potongan rawatan serta perubatan akan ditolak dari jumlah RM 500 setahun yang diberikan.
“Seterusnya, pada tahun hadapan (2025) menerusi Skim Bantuan Warga Emas kepada golongan yang berada dalam garis kemiskinan pula akan ditambah kepada RM 400, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan kewangan yang diterima untuk golongan itu adalah sebanyak RM 900,” katanya.
Fatimah berkata demikian dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Harga Emas Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Rumah Seri Kenangan, Kuching pada Jumaat.
Mengulas mengenai persediaan menuju negeri menua, Fatimah menjelaskan tiga universiti iaitu Universiti Swinburn, Universiti Curtin dan Universiti Teknologi Sarawak bergabung dalam menyiapkan kajian mengenai profil warga emas di seluruh Sarawak meliputi kawasan bandar dan luar bandar termasuk jantina, kaum serta etnik.
Katanya, kajian itu penting dalam memastikan keadaan semasa warga emas di semua kawasan di seluruh Sarawak selain mendapat maklum balas keperluan yang perlu disediakan bagi memastikan kehidupan mendatang golongan tersebut lebih selesa.
Tambahnya, warga emas harus dihormati kerana mereka suatu ketika dahulu pernah muda, berkhidmat dalam kerajaan dan melahirkan golongan terpelajar yang menyumbang kepada pembangunan di Sarawak pada hari ini.
“Ianya juga penting agar golongan itu mencapai tahap penuaan bermaruah seperti tema Sambutan Hari Harga Emas, Peringkat Negeri Sarawak ‘Penuaan Bermaruah: Memperkukuh Sistem Penjagaan dan Sokongan Warga Emas’,” ujarnya.-TVS