Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian mengekalkan jawatan sebagai Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bagi penggal 2025-2027. Foto: Sim Kui Hian (FB)

Dr. Sim kekal Presiden SUPP bagi penggal 2025-2027

ByMuqri Aziz

KUCHING, 29 Nov: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian mengekalkan jawatan sebagai Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bagi penggal 2025-2027.

Beliau mengumumkan perkara itu menerusi hantaran di Facebook setelah pencalonan lima jawatan tertinggi parti pada Mesyuarat Agung Tiga Tahunan (TGM) ditutup petang tadi.

Dalam hantaran tersebut, Dr. Sim turut memaklumkan bahawa empat jawatan tertinggi lain kekal dipegang oleh ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) penggal lalu dan ini termasuk dua Timbalan Presiden SUPP, yang terus disandang oleh Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin.

Dua jawatan lain yang kekal ialah Setiausaha Agung SUPP dipegang oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting manakala jawatan Bendahari Agung pula terus disandang oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis.

Dr. Sim mengucapkan tahniah kepada rakan seperjuangannya atas pelantikan semula mereka dan turut menyampaikan penghargaan kepada ahli-ahli SUPP yang memberikan sokongan serta kepercayaan kepadanya untuk terus memimpin parti.

“SUPP pada tahun 2024 benar-benar berbeza daripada SUPP yang pernah berpecah pada tahun 2011.

“Marilah kita terus memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab kita untuk pembinaan negara bangsa Sarawak demi Sarawak dan rakyat Sarawak, selaras dengan misi dan visi parti kita sejak tahun 1959,” katanya yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan Sarawak.

Dr. Sim pertama kali dilantik sebagai Presiden SUPP pada 2014 menggantikan bekas Menteri Tenaga, Teknologi Hijau, dan Air, Tan Sri Peter Chin Fah Kui, yang bersara daripada arena politik pada 2013.

Kini, SUPP mengukuhkan kedudukannya dalam arena politik Sarawak dengan memiliki dua kerusi Parlimen dan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Di samping itu, parti itu turut memegang satu jawatan Timbalan Menteri di peringkat Persekutuan, satu jawatan Timbalan Premier, dua jawatan Menteri penuh, dan tiga jawatan Timbalan Menteri di peringkat wilayah. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan