KOTA SAMARAHAN, 29 Nov: Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun terperangkap dalam kereta yang berkunci di Stesen Bas Desa Ilmu, Jalan Datuk Muhammad Musa di sini, pagi tadi.
Komander Operasi, Yusmandie Barudie berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 7.31 pagi dengan menggerakkan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan ke lokasi kejadian.
“Pihak bomba menjalankan operasi menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kereta tersebut sehingga ia berjaya dibuka.
“Kanak-kanak perempuan yang terperangkap di dalam kenderaan itu dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada ibunya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba mengambil masa kira-kira sembilan minit membuka pintu kenderaan yang terkunci itu. – TVS