BETONG, 28 Nov: Seorang lelaki warga emas yang hilang di hutan selepas tidak balik ke rumah di Rumah Sawing, Merutih, Ulu Skrang di sini sejak Selasa ditemui selamat hari ini.
Komander Operasi, Jusmandie Jamaie berkata, mangsa dijumpai oleh orang awam dalam keadaan lemah di tepi jalan kebun sawit.
“Anggota dalam operasi mengeluarkan mangsa dari kawasan kebun sawit dan di Rumah Lampas Titok Atas, Engkelili.
“Mangsa akan dihantar ke hospital Betong bagi mendapat rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, operasi SAR telah ditamatkan setelah penyerahan mangsa kepada ambulans APM.
Pihak bomba menerima panggilan berhubung kes itu jam 9.57 malam tadi dengan menggerakkan dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong ke lokasi kejadian.
Mangsa Gelau Rayang berusia 82 tahun keluar rumah pada jam 9 pagi Selasa tanpa memberitahu sesiapa.
Namun sehingga laporan polis dibuat pada jam 8.11 malam tadi mendapati mangsa belum balik ke rumah.-TVS