BETONG, 28 Nov: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri hilang di hutan selepas tidak balik ke rumah di Rumah Sawing, Merutih, Ulu Skrang di sini, sejak Selasa.
Komander Operasi, Edwin Jonani berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 9.57 malam tadi dengan menggerakkan dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong ke lokasi kejadian.
“Mangsa Gelau Rayang berusia 82 tahun keluar rumah pada jam 9 pagi Selasa tanpa memberitahu sesiapa.
“Namun sehingga laporan polis dibuat pada jam 8.11 malam tadi mendapati mangsa belum balik ke rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, ahli keluarga mangsa bersama-sama penduduk kampung telah melakukan pencarian awal namun mangsa masih belum ditemui.
“Mangsa dilihat oleh jiran keluar berjalan di atas bukit seperti hendak ke kebun dengan anggaran jarak lebih kurang dua kilometer dari rumah panjang.
“Mangsa mengalami masalah kurang pendengaran, menghidap penyakit darah tinggi dan kolestrol. Mangsa kini tinggal bersama anaknya,” ujarnya. -TVS