SERDANG, 28 Nov: Sarawak menyumbang RM6.8 bilion bersamaan 10.9 peratus daripada jumlah keseluruhan import makanan negara iaitu RM78.8 bilion pada 2023.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, melihat kepada angka itu, Kerajaan Sarawak berhasrat untuk mengurangkan kebergantungan import dengan mensasarkan untuk menjadi pengeluar makanan pada masa depan.
“Pendekatan kami (Kerajaan Sarawak) untuk menangani isu keselamatan makanan mestilah berani, menyeluruh dan berfikiran ke hadapan.
“Ia bermula dengan pengiktirafan jelas dengan trend yang membentuk landskap makanan global dan pemahaman tentang strategi yang diperlukan untuk mengemudinya dengan jayanya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komuniti dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail pada Majlis Penutup Pameran dan Persidangan Keselamatan Makanan Pertanian Pintar Asia 2024 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Sarawak katanya sedang menuju ke arah pengkomersilan dan pemodenan sektor pertanian, memanfaatkan pertanian pintar dan perkongsian global untuk mempercepatkan pengeluaran yang menyokong nilai yang lebih tinggi.
“Ini juga ditambah dengan pemprosesan makanan hiliran, terutamanya untuk pasaran eksport. Dalam hal ini, kami menggalakkan penyertaan aktif sektor swasta untuk mempercepatkan penggunaan moden dan mampan amalan pertanian.,” ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai ASF, Rundi berkata Sarawak mengalu-alukan hasrat penganjur untuk menganjurkan forum tahun itu di Sarawak pada tahun depan dengan sokongan penuh akan diberikan kerajaan negeri dalam menjayakannya.
“ASF komited untuk membantu petani beralih kepada pertanian bebas kimia menerusi teknologi terkini. Di setiap wilayah, kami (Kerajaan Sarawak) boleh menubuhkan pusat latihan untuk mendidik petani mengenai penanaman tanaman tanpa bahan kimia berbahaya, sekali gus meningkatkan kesihatan dan produktiviti.
“Tahun depan, kami akan memberi penekanan yang lebih besar meningkatkan kesedaran tentang amalan pertanian selamat dan menangani cabaran yang ditimbulkan oleh penggunaan racun perosak dalam bidang pertanian,” jelasnya.
Rundi menjelaskan, matlamat Kerajaan Sarawak adalah untuk memastikan setiap petani di negeri itu dapat menghasilkan makanan yang selamat untuk pengguna tanpa mencemarkan alam sekitar. – TVS