KUCHING, 28 Nov: Sarawak Metro Sdn Bhd mempelawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) untuk menyaksikan proses audit yang akan dijalankan oleh Jabatan Audit Negara Malaysia.
Sarawak Metro menerusi kenyataan memaklumkan langkah ini selaras dengan pendiriannya yang menyambut baik usaha semua pihak berkuasa dan agensi kerajaan yang relevan dalam menjalankan audit terhadap proses semasa syarikat, bagi meningkatkan piawaian dan tahap tadbir urus syarikat sesuai dengan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk amalan rasuah.
Sarawak Metro telah dimaklumkan tentang niat Jabatan Audit Negara Malaysia untuk menjalankan audit terhadap syarikat ini pada 7 November 2024.
Audit ini, yang bertepatan dengan audit yang dijadualkan terhadap syarikat induk Sarawak Metro, Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), dijangka akan dijalankan pada pertengahan Disember 2024.
Sementara itu, Sarawak Metro kini juga sedang dalam proses untuk memperoleh pensijilan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) ISO 37001:2016, dan baru-baru ini telah melengkapkan Audit Pensijilan Tahap 2 untuk ABMS.
Ini merupakan salah satu inisiatif dan komitmen terbaru syarikat dalam menegakkan amalan tadbir urus terbaik sambil mematuhi piawaian etika yang tertinggi.
Sarawak Metro, sebuah anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), telah diamanahkan oleh Kerajaan Sarawak untuk memodenkan pengangkutan awam melalui projek Sistem Pengangkutan Bandaraya Kuching (KUTS).