KUCHING, 28 Nov: Bedah siasat dijalankan ke atas penemuan bangkai paus yang berhampiran Jambatan Triso di Sebuyau mendapati sampah sarap seperti selipar, plastik, straw plastik ditemui dalam perut mamalia tersebut.
Menurut satu kenyataan Sarawak Forestry Corporation(SFC), siasatan teliti mendapati paus itu berkemungkinan besar telah dihanyutkan oleh arus deras disebabkan oleh musim tengkujuh ketika ini.
“Pihak pengurusan SFC mengucapkan jutaan terima kasih kepada kakitangan Jabatan Muzium Sarawak, Pejabat Daerah, JKKK Kampung Triso, pihak kontraktor pembinaan jambatan, operator feri Triso dan juga penduduk setempat.
“Penduduk Kampung Triso dan agensi juga membantu dalam proses pembersihan kawasan berkenaan bagi mengelakkan bau yang kurang menyenangkan yang dikeluarkan oleh bangkai paus tersebut,” kata kenyataan itu.
Kenytaan turut mencatatkan sejurus bedah siasat dijalankan, Controller Hidupan Liar bersetuju agar tulang paus berkenaan diserahkan oleh SFC kepada Jabatan Muzium Sarawak untuk diawet dan tindakan selanjutnya.
Terdahulu, pencarian bangkai ikan paus itu telah dimulakan selepas video yang tular baru-baru ini menarik perhatian umum.
Bangkai paus yang ditemui itu daripada jenis Paus Baleen (Baleen Whale) dewasa.-TVS